Sakti Sheila On 7 (SO7) Now


DIKENALI sebagai pemain gitar kedua grup terkenal Indonesia, Sheila On 7 (SO7), Sakti yang duduk di hadapan kami, berkata, hari ini cukup berbeza dengan apa yang pernah dilihat sepanjang pembabitannya dalam industri lebih enam tahun lalu. Dalam pertemuan eksklusif yang diatur teman di kediaman Eross di Yogyakarta, Indonesia itu, kelihatan mukanya dijalari janggut, menyarung baju dan seluar khakis polos. Bicaranya teratur. Sakti membuka lembaran sejarah hidupnya – dari zaman jahiliah kepada seorang yang cukup patuh terhadap Islam. “Saya takut mati dan api neraka itu maha dahsyat,” luah Sakti serius. Perasaan takut mati itu terdetik selepas dia terpandang sebuah buku dengan judul Menjemput Sakaratul Maut Bersama Rasulullah di dalam sebuah kedai buku di Lapangan Terbang Yogyakarta sewaktu mahu ke Malaysia menghadiri majlis Anugerah Industri Muzik (AIM) dua tahun lalu. “Saya masuk ke sebuah kedai buku, ternampak buku ini dan fikiran saya berputar tentang senario kapal terbang yang kerap terhempas. “Saya bayangkan kalau kapal terbang saya terhempas dan saya mati, apa bekalan yang saya ada? Saya tiada apa-apa.

Tapi saya percaya mati tetap akan datang kepada saya pada bila-bila masa,” ceritanya yang kemudian membeli dan habis membaca buku tersebut sepanjang kembara ke Malaysia. Kembali ke Indonesia, dia terus dibelenggu perasaan takut mati selepas menjaga ibunya yang sakit di hospital selain membaca sebuah tabloid yang menyiar isu kematian. Insiden yang berturut ini, kata Sakti, sebagai satu petunjuk agar dirinya berubah. Dilepaskannya status pemain gitar SO7 saat grup ini sedang berada di kemuncak. “Saya tekad membuat keputusan dan tidak berasa rugi melepaskan status artis pada zaman kegemilangan kami kerana saya sendiri sudah tidak boleh memberi fokus pada hiburan. “Adakah saya menyesal melepaskan kemewahan dunia? Tidak sama sekali kerana saya lebih rela menyesal dan melepaskan semua di dunia sebelum saya dijemput ‘pulang’.

“Saya tidak mahu menyesal di akhirat kelak dan tidak terbayang panas api di sana,” kata Sakti yang turut mengaku kerap menangis mengenang dosa silam. Usai rasmi keluar dari SO7, anak kedua daripada tiga beradik ini berangkat ke Pakistan (menuntut di sebuah masjid di Rewin) dalam usahanya mendasari semula asas seorang Islam sejati selama dua bulan sebelum kembali ke Indonesia dan menimba ilmu daripada para ulama di negara sendiri. “Di Pakistan saya diajar menyayangi agama Islam sebagai sebuah agama yang indah.” Lantas sewaktu disuakan hal tentang zaman jahiliahnya dahulu, Sakti tersenyum dan berkata: “Dulu saya pemabuk,” katanya tanpa selindung dan menambah: “Saya mula minum alkohol sejak zaman sekolah, bukan semasa jadi artis. Saya hanya berhenti minum pada usia 26 tahun sewaktu mahu beralih menjadi umat Islam yang sebenar.” Tambah Sakti, solat lima waktu juga selalu rompong, jauh sekali solat Jumaat yang akuinya paling jarang dilakukan. Sebaik mendapat hidayah dan memahami disiplin kehidupan yang telah ditentukan Tuhan, dia cukup takut untuk meninggalkan solat. Apa lagi saat mengenangkan kalau tiba-tiba dirinya dijemput ‘pergi’ tanpa sempat ‘bermanja’ dengan Tuhan.

Tanpa kemewahan, kata suami kepada Miftahul Jannah, 23, dia menjalani kehidupan kini serba sederhana sambil mengusahakan sebuah kedai dobi dan kedai mini sejak tiga bulan lalu di kampung halamannya. Ditanya tidakkah rindu untuk memeluk keenakan hiburan, pantas dia menggeleng. Namun dia masih menyentuh gitar. “Tapi bukan untuk dipertontonkan seperti dulu. Saya juga masih mendengar muzik, tapi lebih senang kepada nasyid atau memuji Islam seperti karya-karya Yusuf Islam. Muzik rock sudah jarang,” ujarnya yang tidak pernah menganggap hiburan sebagai perosak jiwa, tetapi ia menjadi rosak dengan penerimaan yang salah. Sedang menghitung waktu untuk menggarap album berbentuk Islamik bersama seorang teman, Sakti saat diminta menyimpulkan kehidupannya kini memberitahu: “Nikmat punya agama seindah Islam memberi efek luar biasa dalam hati saya. “Apa yang saya bimbangkan kini jika Tuhan menterbalikkan hati saya seperti dahulu. Nauzubillah, kerana saya mahu terus berada dalam hidayahnya sehingga saya mati.”

Siapa: Sakti Ari Seno@ Sakti, 28.
Transisi: Bekas pemain gitar Sheila On 7 (SO7) ini mula mengubah ‘kiblat’nya sejak dua tahun lalu.
Kini: Pendakwah bebas serta pemilik kedai dobi dan kedai mini bernama Smart.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: